On this page
Lindungi diri anda dan orang lain daripada COVID-19
COVID-19 masih beredar dalam masyarakat. Sesetengah orang masih boleh sakit teruk kerananya. Melindungi diri adalah cara terbaik untuk melindungi orang lain. Kita tidak dapat menyebarkan COVID jika tidak dijangkiti.
Dapatkan ujian
Duduklah di rumah dan ambil ujian antigen cepat (RAT) jika anda:
- mengalami gejala seperti selesema, sakit tekak, batuk, demam, atau demam gigil.
- merupakan kontak orang yang menghidap COVID-19.
Jika negatif, teruskan ujian antigen cepat selama beberapa hari lagi dan terus duduk di rumah sehingga gejala anda lega.
Jika ada kemungkinan sakit teruk akibat COVID-19, minta ujian PCR oleh GP. Jika positif ujian PCR, anda tidak perlu laporkan keputusan itu.
Dapatkan penerangan lanjut di Dapatkan Ujian COVID-19.
Jaga kesihatan anda
Jika positif COVID-19, anda perlu berehat dan minta nasihat doktor GP. Kebanyakan orang mengalami gejala ringan dan dapat pulih semula di rumah. Anda hendaklah:
- Duduk di rumah sekurang-kurangnya 5 hari. Jangan pergi kerja atau sekolah. Elakkan pergi ke hospital, kemudahan penjagaan warga emas dan perkhidmatan orang kurang upaya.
- Jika mesti meninggalkan rumah kerana kecemasan, pakai pelitup. Pelitup yang terbaik adalah pelitup pembedahan atau N95.
- Beritahu mereka yang anda temui atau tempat yang anda pergi baru-baru ini bahawa anda menghidap COVID.
Jika simptom anda semakin buruk, anda patut minta nasihat doktor GP.
Hubungi Jabatan Kecemasan Maya Victoria untuk mendapatkan rawatan segera jika tidak dapat bercakap dengan doktor.
Jika ada kecemasan, hubungi Triple Zero (000).
Anda mungkin dapat menjangkiti orang lain sehingga 10 hari. Duduklah di rumah jika mengalami selesema, sakit tekak, batuk, demam, demam gigil, berpeluh, atau sesak nafas. Gunakan ujian antigen cepat atau minta nasihat GP jika tidak pasti.
Sokongan
Untuk penerangan lanjut:
- Layari Senarai Semak COVID-19 untuk mengetahui apa yang perlu dilakukan jika disahkan positif COVID-19
- Layari Menguruskan COVID-19 untuk mengetahui gejalanya dan cara menjaga kesihatan di rumah.
Untuk bercakap dengan seseorang:
- Hubungi Khidmat Penterjemahan dan Jurubahasa 131 450
Bertanyalah tentang ubat COVID
Ubat COVID menyelamatkan nyawa dan menghalang kita daripada sakit teruk akibat COVID-19. Supaya paling berkesan, ubat patut diambil seawal mungkin dan dalam masa 5 hari selepas jatuh sakit.
Jawab soalan-soalan ini untuk mengetahui sama ada anda layak mendapat ubat COVID. Minta nasihat doktor GP jika rasa anda layak. GP dapat membantu memastikan rawatan segera untuk mereka yang layak.
Untuk mendapatkan penerangan lanjut, layari Ubat antivirus dan ubat lain
Pakai pelitup muka
Pelitup dapat menghalang anda dijangkiti COVID-19 atau menjangkiti orang lain. Pelitup hendaklah berkualiti dan cukup muat di muka. Pelitup (respirator) N95 dan P2 memberi perlindungan terbaik.
Anda patut memakai pelitup:
- dalam pengangkutan awam, di tempat awam, dan di luar bangunan jika keadaan penuh sesak.
- jika menghidap COVID-19 dan mesti keluar daripada rumah
- jika berisiko tinggi sakit teruk, atau berada bersama mereka yang seperti itu.
Kanak-kanak berumur 2 tahun ke bawah tidak patut memakai pelitup kerana ada risiko tercekik dan lemas.
Untuk penerangan lanjut, lihat Pelitup muka.
Dapatkan dos vaksin anda yang seterusnya
Vaksin adalah cara terbaik untuk melindungi diri anda dan keluarga daripada penyakit teruk akibat COVID-19. Anda patut lengkap divaksin dengan semua vaksin yang disyorkan untuk anda. Minta nasihat GP untuk mengetahui berapa dos yang disyorkan.
Anda masih patut mendapatkan vaksin walaupun sudah pernah dijangkiti COVID-19. Gunakan pencari klinik vaksin untuk menempah dos seterusnya dengan doktor GP atau farmasi setempat.
Untuk penerangan lanjut sila lihat Vaksin COVID-19.
Biarkan udara segar masuk
COVID-19 tersebar melalui udara. Membawa udara segar ke dalam bangunan dapat mengurangkan risiko penyebaran COVID-19. Buka tingkap atau pintu selagi dapat apabila berkumpul dengan orang lain di dalam bangunan. Jika tidak dapat, gunakan alat pembersih udara mudah alih (dengan turas HEPA) yang menyingkirkan zarah aerosol daripada udara.
Untuk penerangan lanjut lihat Pengalihan udara.
Pulih daripada COVID-19
Ramai yang masih berasa tidak sihat akibat COVID-19 walaupun tidak lagi dapat menjangkiti orang lain. Berikan tubuh anda rawatan dan masa untuk pulih dengan sempurna.
Anda patut menunggu 6 bulan selepas dijangkiti, untuk mendapatkan dos vaksin yang seterusnya. Dengan cara ini, anda memastikan perlindungan terbaik terhadap virus ini.
Anda dapat dijangkiti COVID-19 lagi secepat 4 minggu setelah pulih. Jika mengalami gejala 4 minggu atau lebih selepas dijangkiti, anda patut jalani ujian.
Long COVID atau COVID berpanjangan bererti simptom COVID-19 berlanjutan lebih daripada 3 bulan. Anda patut berjumpa doktor GP yang dapat membantu menguruskan simptom tersebut atau merujukkan anda kepada pakar jika perlu.
Dapatkan penerangan lanjut tentang COVID berpanjangan.
Jika anda seorang kontak
Anda berisiko dijangkiti COVID-19 jika duduk serumah atau pernah berkontak rapat dengan orang yang disahkan positif.
Anda patut memantau gejalanya dan menjalani ujian kerap selama 7 hari setelah kontak dengan orang yang positif. Pada waktu ini, anda disyorkan supaya:
- mengelakkan pergi ke hospital, kemudahan penjagaan warga emas dan perkhidmatan orang kurang upaya
- memakai pelitup apabila meninggalkan rumah, termasuk menaiki pengangkutan awam dan di ruang dalam bangunan seperti tempat kerja dan sekolah
- biarkan udara segar masuk ke dalam ruang bangunan dengan membuka tingkap, jika dapat
Untuk penerangan lanjut tentang Senarai semak untuk para kontak.
This page has been produced in consultation with and approved by: