Dapatkan penerangan tentang amaran, gejala dan rawatan asma ribut petir. Bersedialah menghadapi musim debunga rumput tahun ini.
Apakah asma ribut petir?
Di Victoria, musim debunga rumput biasanya bermula dari 1 Oktober hingga 31 Disember. Dalam tempoh ini, anda mungkin melihat peningkatan asma dan hay fever (demam alergi). Musim ini juga membawa kemungkinan asma ribut petir.
Asma ribut petir boleh berlaku apabila banyak debunga rumput di udara dan terjadi sejenis ribut petir tertentu. Butir-butir debunga rumput diterbangkan oleh angin dan dibawa jauh-jauh. Sebahagiannya boleh meletus dan melepaskan zarah halus yang tertumpu dalam hembusan angin yang bertiup sejurus sebelum ribut petir. Zarah ini begitu halus sehingga boleh tersedut jauh ke dalam paru-paru dan mencetuskan gejala asma dengan cepat, walaupun pada orang yang tidak pernah menghidap asma.
Apabila ramai orang mengalami gejala asma dalam tempoh yang singkat dalam keadaan begini, terjadilah apa yang disebut asma ribut petir epidemik.
Siapakah yang berisiko?
Orang yang menghadapi risiko asma ribut petir termasuk yang sedang atau pernah menghidap asma, asma yang belum didiagnosis, atau demam alergi musim bunga. Risikonya lebih tinggi bagi mereka yang menghidap asma dan demam alergi sekaligus, terutama jika asma tidak terkawal dengan baik.
Lindungi diri semasa musim debunga rumput tahun ini
Lindungi diri dan mereka yang dijaga oleh anda dengan mengikuti langkah-langkah mudah ini:
- Pantau ramalan risiko asma ribut petir epidemik:
- layari laman web ramalan asma ribut petir Vic
- muat turun aplikasi melalui App Store atau Google Play.
- Jangan berada di luar semasa ribut petir, terutama semasa tiupan angin sebelum ribut melanda. Masuk ke dalam rumah serta tutup pintu dan tingkap. Matikan sistem penyaman udara yang membawa udara dari luar ke dalam rumah atau kereta (termasuk penyaman udara jenis sejatan).
- Ambil ubat pencegahan asma seperti yang diarahkan.
- Ketahui cara menangani serangan asma. Ikuti pelan tindakan asma anda atau gunakan pertolongan cemas asma.
Asma
- Jika anda menghidap asma – berbincanglah dengan doktor untuk memeriksa kawalan asma anda, serta semak dan kemas kini pelan tindakan asma bagi memastikan ubat asma yang betul dan digunakan dengan betul. Ingat, sangat penting ubat pencegah asma diambil seperti yang diarahkan. Ubat ini membantu mencegah gejala asma, termasuk asma ribut petir.
- Jika pernah menghidap asma – berbincanglah dengan doktor anda tentang cara melindungi diri daripada risiko asma ribut petir.
- Jika pernah mengalami nafas berdehit, sesak nafas, sesak dada, atau batuk yang degil – berbincanglah dengan doktor anda. Doktor dapat membantu menentukan sama ada anda menghidap asma dan cara menangani gejala tersebut.
- Selalu bawa ubat pelega – inilah ubat pertolongan cemas bagi asma anda.
Bagi gejala asma yang ringan, berjumpalah dengan doktor, berbincanglah dengan ahli farmasi atau dapatkan pilihan rawatan lain. Jika masalah tidak bertambah baik atau semakin teruk, telefon 000 atau pergi ke hospital.
Demam alergi
- Jika mengalami hay fever (demam alergi) musim bunga – berbincanglah dengan ahli farmasi atau doktor anda. Mereka dapat membantu anda menyediakan pelan rawatan demam alergi dan mencadangkan cara-cara melindungi diri daripada asma ribut petir. Pelan ini termasuk mengetahui di mana anda boleh dapatkan alat sedut pelega asma dengan cepat sekiranya mengalami asma ribut petir – boleh didapati di farmasi tanpa preskripsi.
- Jika mengalami gejala asma – ikuti langkah pertolongan cemas asma dan pastikan anda berjumpa doktor selepas itu.
- Jika pernah mengalami apa jua gejala asma bersama demam alergi, atau tidak pasti – berjumpalah doktor anda. Setelah diagnosis dibuat, anda boleh mendapatkan rawatan berkesan yang membuat anda berasa lega dan bernafas lebih lancar.
Pertolongan cemas asma
Penting bagi setiap orang dalam komuniti mengetahui pertolongan cemas asma. Penerangan tentang pertolongan cemas asma disediakan oleh Better Health Channel, Asthma dan National Asthma Council .
Telefon Triple Zero (000) dengan serta merta jika:
- pesakit tidak bernafas
- asma tiba-tiba menjadi lebih teruk atau tidak lega
- pesakit mengalami serangan asma dan tiada ubat pelega
- pesakit tidak pasti sama ada itu ialah asma
- pesakit diketahui mengalami anafilaksis. Jika hal ini berlaku, pastikan suntikan kendiri adrenalin diberikan terlebih dahulu, kemudian ubat pelega, walaupun tiada gejala kulit.
Untuk mendapatkan penerangan ini dalam bahasa lain, hubungi Translating and Interpreting Service (TIS nombor 131 450 (panggilan percuma) dan minta mereka menelefon Nurse-on-Call.
Jika orang pekak, kurang pendengaran, atau mengalami cacat pertuturan/komunikasi, hubungi National Relay Service dan minta mereka menghubungi Nurse-on-Call.
Maklumat berkaitan
- Laman web asma ribut petir Better Health Channel
- Ramalan asma ribut
- Laman web atau aplikasi Melbourne
- Asthma
- National Asthma Council
Tempat untuk mendapatkan bantuan
- Semasa kecemasan, selalu telefon Triple Zero (000)
- Perkhidmatan rawatan mendesak di Victoria
Content disclaimer
Content on this website is provided for information purposes only. Information about a therapy, service, product or treatment does not in any way endorse or support such therapy, service, product or treatment and is not intended to replace advice from your doctor or other registered health professional. The information and materials contained on this website are not intended to constitute a comprehensive guide concerning all aspects of the therapy, product or treatment described on the website. All users are urged to always seek advice from a registered health care professional for diagnosis and answers to their medical questions and to ascertain whether the particular therapy, service, product or treatment described on the website is suitable in their circumstances. The State of Victoria and the Department of Health shall not bear any liability for reliance by any user on the materials contained on this website.

