Ringkasan
Read the full fact sheet- Mpox adalah penyakit yang disebabkan oleh virus cacar monyet.
- Mpox tidak mudah merebak antara manusia dan biasanya disebabkan sentuhan fizikal atau intim (kulit ke kulit) berpanjangan dengan orang yang berjangkit.
- Jika mengalami gejala mpox, dapatkan rawatan dan ujian perubatan, dan hadkan pertemuan dengan orang lain sehingga keputusan ujian anda diketahui.
- Vaksin mpox tersedia secara meluas di Victoria. Jika layak, anda boleh dapatkan vaksin sekarang.
- Mereka yang telah mendapat dos pertama sekurang-kurangnya 28 hari yang lalu patut dapatkan dos kedua.
- Pemvaksinan disediakan percuma untuk mereka yang layak, melalui khidmat kesihatan dan klinik kesihatan seksual.
On this page
- Apakah mpox?
- Bagaimana cara mpox merebak
- Siapa yang berisiko
- Gejala mpox
- Apa yang patut dilakukan jika mengalami gejala mpox
- Apakah yang patut dilakukan jika anda mendapat diagnosis mpox
- Apa yang perlu dilakukan jika anda dikenal pasti sebagai kontak mpox
- Pencegahan mpox
- Rawatan mpox
- Pengimunan mpox
- Di manakah boleh saya dapatkan bantuan?
Penerangan lanjut tentang mpox, termasuk kelayakan dan cara mendapatkan vaksin, boleh didapati di halaman penerangan dan nasihat penyakit mpox di Health.vic.
Apakah mpox?
Mpox (dahulu dikenali sebagai “monkey pox”) adalah penyakit yang disebabkan oleh virus cacar monyet. Mpox biasanya menyebabkan sakit ringan disertai ruam. Penyakit ini kebanyakannya merebak melalui sentuhan fizikal atau intim (kulit ke kulit) yang berpanjangan dengan orang yang menghidapi mpox. Kebanyakan orang akan sembuh dalam masa beberapa minggu.
Bagaimana cara mpox merebak
Mpox tidak mudah merebak antara manusia. Penyakit ini biasanya merebak dari orang ke orang melalui sentuhan fizikal atau intim berpanjangan dengan penghidap mpox, terutama pada ruam, lesion, kudis atau keruping kulit.
Mpox juga boleh merebak melalui sentuhan dengan pakaian, cadar, selimut, bantal atau tuala yang dipakai orang yang dijangkiti, serta titisan pernafasan (batuk dan bersin).
Mpox tidak merebak melalui sentuhan biasa.
Virus boleh berjangkit sejak pesakit mengalami gejala pertama dan sehingga semua lesion mula keruping, kering dan gugur, meninggalkan lapisan kulit baharu.
Siapa yang berisiko
Sesiapa yang mengalami sentuhan fizikal atau intim (kulit ke kulit) berpanjangan dengan penghidap mpox boleh dijangkiti.
Mereka yang paling berisiko ialah lelaki gay, biseksual dan lelaki yang berhubungan seks dengan lelaki, mereka yang pergi ke negara yang mengalami wabak ini, serta yang berbilang pasangan seks atau menghadiri pesta besar-besaran atau tempat hubungan seks.
Gejala mpox
Gejala mpox boleh terjadi sehingga 21 hari selepas sentuhan dengan orang yang dijangkiti.
Gejala ini termasuk ruam yang boleh menyakitkan, dan menjejas mana-mana bahagian tubuh termasuk:
- alat kelamin
- bahagian sekitar dubur dan punggung
- dalam mulut
- muka
- tangan dan lengan
- kaki, betis dan paha.
Ruam mungkin termasuk vesikel (seperti lepuh), pustul (bisul), jerawat atau ulser. Bilangan lesion juga tidak tertentu. Ruam mungkin berubah dan melalui pelbagai peringkat, seperti cacar air, sebelum akhirnya menjadi keruping yang tanggal sendiri.
Gejala lain yang boleh berlaku sebelum atau bersama ruam termasuk:
- demam
- seram sejuk
- sakit otot
- bengkak nodus limfa
- keletihan
- sakit kepala
- sakit tekak
- pedih di dubur dan rektum
- pedih semasa buang air kecil.
Gejala boleh menyerupai jangkitan seksual (sakit kelamin) seperti herpes atau sifilis, serta penyakit lain yang disertai ruam seperti campak atau cacar air.
Kebanyakan orang mengalami sakit ringan dan sembuh dalam masa beberapa minggu, tetapi ada yang mungkin sakit teruk dan perlu rawatan di hospital.
Kanak-kanak, wanita hamil dan mereka yang lemah sistem imun dianggap lebih tinggi risiko menghidap sakit teruk.
Apa yang patut dilakukan jika mengalami gejala mpox
Jika mengalami gejala mpox, anda patut tetap berada di rumah, hadkan pertemuan dengan orang lain, serta dapatkan rawatan dan ujian perubatan.
Jika mengalami gejala, hubungi penyedia khidmat perubatan anda atau khidmat perubatan terdekat untuk mendapatkan nasihat. Pastikan apa-apa ruam, lesion, kudis atau keruping ditutup jika bertemu orang lain.
Apakah yang patut dilakukan jika anda mendapat diagnosis mpox
Mereka yang menghidap mpox patut elakkan pertemuan dengan orang lain, terutama kanak-kanak, wanita hamil dan mereka yang lemah sistem imun.
Elakkan sentuhan dengan haiwan termasuk haiwan kesayangan, disebabkan risiko penyebaran manusia ke haiwan.
Tunggu sehingga semua lesion kulit sembuh dan lapisan kulit baru terbentuk di bawahnya sebelum meneruskan aktiviti biasa. Buat temu janji susulan dengan doktor supaya anda dapat diberi penjelasan dan nasihat lanjut jika perlu, misalnya berapa lama memakai kondom semasa hubungan seks selepas sembuh.
Pegawai kesihatan daripada Local Public Health Unit (LPHU - Unit Kesihatan Awam Tempatan) atau Department of Health (Jabatan Kesihatan) akan menghubungi anda untuk meninjau keadaan anda. Mereka akan membantu mengenal pasti orang lain yang mungkin telah bertemu anda semasa anda masih berjangkit, untuk memberi amaran tentang risiko menghidap mpox. Mereka akan memberitahu orang yang telah bertemu anda, tanpa menyatakan siapa anda.
Apa yang perlu dilakukan jika anda dikenal pasti sebagai kontak mpox
Jika anda dikenal pasti sebagai kontak, awasi jika ada gejala. Ikuti garis panduan kesihatan awam dan saranan pegawai kesihatan pada sesuatu masa.
Pencegahan mpox
Pemvaksinan ialah langkah pencegahan yang berkesan terhadap mpox. Dua dos diperlukan untuk perlindungan optimum terhadap sakit teruk. Tiada vaksin yang 100 peratus berkesan, dan jangkitan mungkin berlaku pada orang yang sudah divaksin.
Elakkan sentuhan dengan orang yang disyaki atau disahkan dijangkiti mpox. Ini termasuk sentuhan dengan benda-benda yang mungkin tercemar, seperti cadar, selimut, bantal atau tuala.
Pertimbangkan untuk mengehadkan pasangan seks anda dan dapatkan butiran kontak mereka. Pertimbangkan untuk mengehadkan pasangan seks selama tiga minggu selepas pulang dari negara yang mengalami wabak mpox.
Jaga kebersihan, seperti mencuci tangan dengan sabun dan air atau menggunakan sanitiser beralkohol.
Jika anda belum divaksin, atau baru menerima satu dos, kemudian terdedah kepada penghidap mpox, dapatkan vaksin (sebaik-baiknya dalam tempoh empat hari selepas pendedahan) demi mengurangkan risiko dijangkiti mpox. Hubungi doktor atau klinik kesihatan seksual tentang mendapatkan vaksin.
Rawatan mpox
Kebanyakan orang biasanya mengalami sakit ringan lalu sembuh dalam masa beberapa minggu. Rawatan anti virus tersedia jika anda sakit teruk, oleh itu penting dapatkan ujian awal.
Pengimunan mpox
Di Victoria, vaksin mpox disediakan percuma untuk mereka yang layak.
Vaksin boleh digunakan untuk mengurangkan risiko jangkitan dan sakit teruk di kalangan:
- golongan berisiko tinggi yang layak
- orang tertentu yang mengalami pendedahan berisiko tinggi baru-baru ini kepada mpox.
Mereka yang telah menerima dos pertama patut bercakap dengan penyedia penjagaan kesihatan tentang bila patut mendapat dos kedua. Dua dos vaksin diperlukan untuk perlindungan optimum.
Vaksin mpox mengambil masa kira-kira 2 minggu untuk berkesan.
Vaksin mpox luas tersedia melalui klinik kesihatan seksual, hospital awam, doktor am, perkhidmatan kesihatan Masyarakat Asli, beberapa majlis dan farmasi komuniti. Local Public Health Unit (Unit Kesihatan Awam Tempatan) anda boleh membantu mencari pembekal di kawasan anda.
Di manakah boleh saya dapatkan bantuan?
- Selalu hubungi ambulans jika berlaku kecemasan (Triple Zero) Tel 000
- Jabatan kecemasan hospital terdekat anda
- GP (doktor) anda
- NURSE-ON-CALL Tel 1300 60 60 24 (24 jam sehari, 7 hari seminggu) untuk nasihat kesihatan secara sulit daripada jururawat berdaftar
- Melbourne Sexual Health Centre Tel (03) 9341 6200 atau 1800 032 017 atau TTY (bagi kurang upaya pendengaran) Tel (03) 9347 8619
- Victorian Sexual Health Network – where to get tested (Rangkaian Kesihatan Seksual Victoria) – pergi ke klinik doktor rakan kami untuk pemeriksaan dan rawatan penyakit kelamin
- Thorne Harbour Health (dahulu Victorian AIDS Council) Tel (03) 9865 6700 atau 1800 134 840
- Emen8 – Cari pusat kesihatan seksual berdekatan anda
- Cari Local Public Health Unit saya.
This page has been produced in consultation with and approved by: